PETALING JAYA – Cuaca cerah dan baik dijangka berlaku di hampir seluruh negara pagi ini berikutan tiada amaran hujan lebat dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) setakat pukul 9 pagi.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, orang ramai turut berkongsi keadaan cuaca di kawasan masing-masing yang cerah diterangi mentari sekali gus memudahkan mereka untuk melakukan kerja-kerja di luar rumah.
“Pagi-pagi sudah rasa bahang matahari, cerah cantik pagi ini. Selamat bekerja semua,” kongsi Mariam di Facebooknya sebentar tadi.
Sementara itu, MetMalaysia menerusi catatan di Facebook, hujan lebat serta ribut petir hanya tertumpu sekitar negeri Sarawak meliputi kawasan Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song) dan Miri (Miri).
Bagaimanapun, keadaan tersebut dijangka reda pada pukul 10 pagi nanti. – KOSMO! ONLINE