KEMAMAN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa insiden bot mencandat sotong yang karam di perairan Kuala Kemaman, di sini pada Ahad lalu ditamatkan secara rasmi, sebentar tadi.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim, Ariffin Ghazali berkata, operasi SAR selama empat hari sejak Ahad lalu itu ketiadaan petunjuk penting ekoran kegagalan mengenal pasti bangkai bot karam terlibat.
“Operasi pencarian di permukaan dan dasar laut berdepan cabaran arus kuat dan tahap penglihatan terhad.
“Hari ini kami hanya berjaya menjumpai barang-barang peribadi mangsa di kedudukan kira-kira 30 meter dari dasar laut,” katanya, di sini hari ini.
Ariffin berkata, operasi SAR selama empat hari tersebut menggunakan aset air dan udara telah meliputi radius pencarian seluas kira-kira 1, 629.76 kilometer.
Tambah beliau, ia melibatkan pelbagai agensi seperti Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.
Kosmo! kelmarin lalu melaporkan, dua pemancing iaitu Aina Husna Muhammad Husaini, 25, dan Yusof Kassam, 66, dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dirempuh sebuah tongkang pada pukul 6.30 pagi kelmarin.
Insiden itu turut mengorbankan kenalan keluarga Aina Husna, Siti Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan tekong, Shahril Ismail, 50, manakala lima yang lain terselamat.
Sewaktu kejadian, mereka sedang mengikuti trip mencandat sotong pada kedudukan kira-kira 15 kilometer dari perairan Kemaman. – KOSMO! ONLINE