SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan pihak tertentu menyeludup sarang burung dari Indonesia untuk pasaran tempatan.
Kejayaan tersebut dicapai hasil rampasan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur – KLIA) Zon Tengah pada 31 Julai lalu.
Menurut Penolong Ketua Pengarah, Norlela Ismail, pihaknya menemui sembilan buah guni dengan berat kasar 196 kilogram di dalam gudang Ground Team Red (GTR), Free Commercial Zone (FCZ), KLIA Kargo pada pukul 6.15 petang.
“Dagangan sarang burung ini tidak memiliki permit import yang sah. Nilai barang yang dirampas bernilai kira-kira RM1,576,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM78,800,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Selain itu ujar Norlela, sindiket dipercayai menggunakan alasan penghantaran ke luar negara untuk sarang burung tersebut jika dagangan ditahan oleh pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE