LANGKAWI – Seramai 85 pekerja tempatan termasuk empat wanita muda yang terlibat dalam pembinaan dua kapal peronda Tentera Laut Nigeria berbangga apabila berjaya menyiapkan kapal itu dalam tempoh dua tahun.
Menurut Nurul Izzah Ahmad Daud, 23, yang berasal dari Batu Kawan, Pulau Pinang, dia juga gembira apabila hasil kerjanya bersama rakan-rakan lain itu akan diserahkan kepada pihak Tentera Laut Nigeria dalam masa terdekat ini.
“Sebagai anak Malaysia, saya bangga kerana orang kita mampu bina kapal tentera untuk negara luar. Bila tengok kapal yang dah siap itu, saya berpuas hati kerana segala penat lelah kami selama ini berbalas,” katanya.
Dia ditemui pada Majlis Pelancaran Bot Peronda 38M Sea Eagle untuk Tentera Laut Nigeria yang disiapkan syarikat pembinaan dan pembaikan kapal tempatan, Northern Shipyard Sdn. Bhd. bersama KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd. yang berpangkalan di pulau ini, semalam.
Kata pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam Teknologi Kimpalan Arka di Geomatika Skill Institute itu, dia melakukan kerja-kerja kimpalan pada sistem perpaipan di bilik enjin kapal tersebut.
“Kerja-kerja kimpalan ini memang mencabar kerana ia memerlukan ketelitian, selain perlu berhadapan dengan panas. Selain itu, saya juga perlu cepat menyesuaikan diri kerana di sini majoritinya adalah pekerja lelaki.
“Ia tidak menjadi masalah kerana saya amat meminati bidang ini kerana arwah ayah dahulu juga tukang kimpal dalam pembuatan alat ganti kenderaan, jadi minat itu dipupuk sejak saya kecil,” ujarnya.
Tambahnya, semasa belajar di institut itu, dia juga merupakan satu-satunya pelajar wanita yang mengikuti bidang berkenaan.
Seorang lagi jurukimpal wanita, Nor Adifa Farain Razali, 22, dari batu Asah, Langkawi berkata, dia teruja apabila dapat terlibat sama dalam pembinaan kapal tentera berkenaan.
“Seronok apabila dapat sama-sama bekerja menyiapkan kapal tentera untuk negara luar ini. Semangat bekerja secara berkumpulan dan saling membantu melancarkan segala kerja kimpalan pada kapal.
“Saya anak Langkawi dan memang bangga apabila ada syarikat tempatan di sini yang menggunakan kepakaran pekerja tempatan untuk membina kapal tentera,” ujarnya yang merupakan lepasan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal. – KOSMO! ONLINE