fbpx

PM Thailand, Srettha Thavisin dipecat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Srettha Thaivisin dipecat sebagai Perdana Menteri Thailand. - CNN

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dilucutkan jawatan selepas mahkamah memutuskan bahawa beliau melanggar perlembagaan, dalam keputusan mengejut yang menjerumuskan negara itu ke dalam pergolakan politik yang lebih teruk.

Saluran berita CNN melaporkan, keputusan itu dibuat seminggu selepas mahkamah sama membubarkan parti pembangkang utama, Parti Move Forward, yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya tahun lalu. Pemimpinnya dilarang daripada menyertai politik selama 10 tahun.

Mahkamah Perlembagaan di Bangkok memutuskan pada hari ini bahawa Srettha, hartawan hartanah dan pendatang baharu arena politik, melanggar peraturan etika dengan melantik seorang peguam yang telah menjalani hukuman penjara, ke dalam Kabinetnya.

Lima daripada sembilan hakim mahkamah mengundi untuk memecat Srettha dan Kabinetnya, dengan memutuskan bahawa Perdana Menteri ‘sedar bahawa beliau melantik seseorang yang tidak mempunyai integriti moral.’

Kerajaan baharu kini mesti dibentuk, manakala gabungan parti pemerintah pimpinan Pheu Thai, akan mengemukakan nama calon baharu sebagai Perdana Menteri.

Sepanjang dua dekad yang lalu, berpuluh-puluh ahli politik menghadapi larangan, parti-parti dibubarkan dan perdana menteri digulingkan dalam rampasan kuasa atau oleh keputusan mahkamah di Thailand.

Pelantikan Srettha ke jawatan tertinggi pada Ogos lalu menamatkan kebuntuan politik Thailand selama tiga bulan selepas pilihan raya 2023.

Kes terhadap Srettha difailkan pada Mei lalu oleh sekumpulan 40 bekas senator yang dilantik oleh tentera.

Mereka berusaha untuk memecatnya daripada jawatan berikutan pelantikan Pichit Chuenban, yang merupakan pembantu rapat bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI