fbpx

KDNK mampu atasi paras 5%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang melebihi paras lima peratus pada suku kedua tahun ini. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku tahun kedua 2024 diunjurkan lebih baik untuk mencapai angka melebihi lima peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pihaknya menganggarkan pertumbuhan KDNK mampu mencapai 5.5 peratus, sedikit lebih rendah berbanding unjuran awalan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, iaitu sebanyak 5.8 peratus.

Jelasnya, ketika ekonomi Malaysia dilihat rancak antara April hingga Jun lalu, pertumbuhan import yang lebih tinggi sebanyak 15 peratus pada suku tersebut, berbanding 12.5 peratus pada suku sebelumnya dilihat sebagai antara faktor yang mengekang perkembangan KDNK lebih baik.

“Keadaan ini membawa kepada lebihan dagangan lebih rendah iaitu sebanyak RM32 bilion berbanding RM55.8 bilion pada suku sama tahun sebelumnya dan RM34.1 bilion yang dicapai pada suku tahun pertama 2024.

“Ia menggariskan peningkatan pergantungan negara kepada sumber asing untuk memenuhi permintaan tempatan dan menekankan keperluan untuk lebih banyak pelaburan dalam meningkatkan kapasiti, perolehan kemahiran baharu dan meningkatkan produktiviti.

Dr. Mohd. Afzanizam

“Malaysia perlu mempercepatkan perbelanjaan pelaburan, yang akan meningkatkan kapasiti produktiviti firma serta mewujudkan permintaan untuk pekerja berkemahiran tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Afzanizam menambah, dalam konteks ini, konsolidasi fiskal adalah penting, yang memerlukan kerajaan menyusun dan membuat keutamaan semula perbelanjaan dalam bidang kritikal seperti pendidikan, penjagaan kesihatan serta pembangunan infrastruktur.

“Selain itu langkah menghapuskan struktur pasaran monopoli secara beransur-ansur juga adalah perlu bagi memastikan pasaran boleh beroperasi dengan lebih cekap, telus dan adil,” ujarnya.

Sebelum ini, Maybank Investment Bank meramalkan pertumbuhan KDNK suku kedua sebanyak 6.8 peratus, mengatasi unjuran awal oleh Jabatan Perangkaan.

Menurut firma penyelidikan itu, ia berdasarkan ramalan pertumbuhan lebih baik bagi sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Jabatan Perangkaan akan mengumumkan angka KDNK suku kedua 2024 pada Jumaat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI