PUTRAJAYA – Kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan strategi baharu perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan menggunakan kaedah pajakan melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara Malaysia bersama Republik Rakyat China (PRC).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dalam tempoh Fasa 1 iaitu dari 2024 hingga 2027, pelaksanaan dasar baharu tersebut menyasarkan penambahan sebanyak 62 set tren penumpang baharu dengan anggaran kos RM10.7 bilion yang akan ditampung secara ansuran selama 30 tahun tempoh pajakan.
“Kos sebenar akan dimuktamadkan setelah selesai rundingan dengan pihak China dalam tempoh masa terdekat.
“Hampir 90 peratus tren penumpang dalam rangkaian perkhidmatan KTMB adalah buatan syarikat China Railway and Rolling Stock Corporations (CRRC) iaitu sebuah syarikat milik kerajaan PRC.
“CRRC juga merupakan peneraju industri keretapi yang terkemuka dalam pasaran global baik dari segi teknologi mahupun dari segi hasil perniagaan,” katanya menerusi sidang akhbar berhubung Inisiatif Pemerkasaan Industri Kereta Api bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini hari ini.
Menurut Anthony Loke, jumlah bilangan tren dalam perkhidmatan yang boleh digunakan ketika ini secara keseluruhan berjumlah 68 set tren penumpang.
Jelasnya, tanpa melaksanakan penambahbaikan segera, mutu perkhidmatan rangkaian KTMB dibimbangi akan merosot. – KOSMO! ONLINE