fbpx

Remaja bakal buta selepas jatuh tandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NOR ASIAH melihat mata kiri Nur Amalin Najwa yang rosak akibat penyakit hidrosefalus ketika ditemui di Desa Rimbunan Kaseh, Rembau semalam.

REMBAU – Seorang ibu resah memikirkan nasib anak gadisnya yang menghidap hidrosefalus iaitu sejenis penyakit mata menjadi buta disebabkan cecair dalam kepala menekan fungsi saraf.

Siti Nor Asiah Abu Hassan, 43, berkata, anak ketiganya, Nur Amalin Najwa Kamaruzaman, 14, menghidap penyakit itu pada Januari tahun lalu selepas terjatuh di dalam tandas dan me­ngadu tidak nampak.

Katanya, dia tidak menyangka tabiat anaknya yang gemar menutup mata kiri ketika menonton televisyen dan mengadu tulisan berbalam pada waktu malam merupakan petanda Nur Amalin Najwa menghidap hidrosefalus. Ketika ini, dia menggunakan mata kanan untuk melihat.

Lebih membimbangkan anaknya juga disahkan mempu­nyai tumor pada saraf tunjang­nya.

“Penyakit itu dikesan ketika saya membawa anak dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban. Doktor memaklumkan anak saya berisiko buta jika lambat diberikan rawatan.

“Anak saya kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya, Selangor,” katanya ketika ditemui sempena Program Sumba­ngan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di Desa Rimbunan Kaseh Rembau di sini semalam.

Tambahnya, kos rawatan ditanggung separuh oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan PPUM, dana sumbangan dan pinjaman sebanyak RM700, manakala ba­kinya dilangsaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut ibu kepada lima anak berusia antara lima hingga 17 tahun itu, dia tidak dapat bekerja kerana perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada anaknya.

“Saya ada dapat bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal sebanyak RM250. Sebelum ini saya bekerja di ladang, namun projek berkenaan tidak diteruskan,” katanya.

Ujar Siti Nor Asiah, anaknya sering mengadu sakit dalam perut, mata tak selesa, sakit kepala dan perlu dikejarkan ke hospital jika muntah.

“Sewa rumah telah tertunggak sejak Oktober tahun lepas seba­nyak RM153,” katanya.

Sehubungan itu, Siti Nor Asiah merayu orang ramai untuk membantunya dengan menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank miliknya bernombor 106098383266.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya terus memberi sumbangan kerana bersimpati dengan nasib keluarga itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI