DORTMUND – Penyerang Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland mahu memanfaatkan masanya bersama kelab itu dengan memenangi sekurang-kurangnya satu kejuaraan sebelum berkelana menyertai pasukan lain pada masa depan.
Haaland, 20, membuktikan Dortmund membuat keputusan tepat membelinya daripada jaguh Austria, RB Salzburg dengan harga €20 juta (RM99.16 juta) pada Januari lalu apabila sudah menjaringkan 33 gol daripada semua 32 perlawanan
Kecemerlangannya telah menarik minat banyak gergasi Eropah seperti Manchester City dan Real Madrid yang kini dilaporkan bersedia mengemukakan tawaran lumayan kepada bintang skuad antarabangsa Norway itu.
Bagaimanapun, Haaland enggan menjadi pengkhianat dengan meninggalkan Dortmund tanpa menghadiahkan kejuaraan kepada jaguh Jerman itu yang kali terakhir berjaya menjulang gelaran iaitu Piala Super Jerman tahun lalu.
“Impian besar saya adalah memenangi satu kejuaraan yang amat besar maknanya kepada Dortmund. Kelab ini telah membelanjakan wang untuk mendapatkan saya, jadi tiba masanya saya membalas kepercayaan ini.
“Saya akan memberikan segala-gala yang saya ada kepada Dortmund dan para penyokong pasukan ini. Benar saya menjaringkan banyak gol, tetapi masih belum berpuas hati kalau tidak dapat menghadiahkan kejuaraan kepada Dortmund,” katanya.
Sebagai rekod, Dortmund kini menduduki tangga kelima Bundesliga selepas 13 perlawanan dan ketinggalan lapan mata dengan pendahulu liga, Bayern Munich.
Dortmund selepas ini dijadualkan menentang pasukan di tangga keempat, VfL Wolfsburg di Signal Iduna Park pada 3 Januari ini pada aksi Bundesliga. – AGENSI