PETALING JAYA – Seperti masih besarnya cinta dan rindu, bekas suami pelakon popular, Nedim Nazri mengundang perhatian ramai apabila mendedikasikan sebuah lagu putus kasih berjudul Dipaksa Berpisah terhadap bekas isterinya, Nora Danish.
Bukan hanya mendedikasikan lagu, Nedim atau nama penuhnya Mohamed Nedim Mohamed Nazri, 41, turut mendoakan kebahagiaan bekas isterinya sekaligus memberi bayangan masih belum berhenti berharap untuk kembali bersama dengan Nora.
“Lagu ini hanya untuk awak sayang, Nora Danish.
“Saya doakan awak bahagia. Kalau dengan saya, Alhamdulillah tetapi jika tidak, awak adalah cinta dalam hidup saya,” katanya dalam InstaStory hari ini.
Difahamkan, lagu Dipaksa Berpisah merupakan single terbaharu milik penyanyi Indonesia, Yan Josua.
Menerusi hantaran berbeza, dia juga meminta orang ramai mengulang siar perkongsian tentang lagu tersebut sekiranya mempunyai rasa sayang terhadapnya.
“Kalau anda ada rasa ‘cinta’ terhadap saya, tolonglah ulang siar dan tag saya,” ujarnya.
Sementara, Nora pula sekadar mengulang siar perkongsian Yan Josua dan memberi ucap selamat kepada penyanyi tersebut.
Pada 19 Jun lalu, Nora dan Nedim sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE