fbpx

SPRM buka cawangan di Cameron Highlands, banteras ‘penjajah’ asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cameron Highlands. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka cawangan baharu di Cameron Highlands, Pahang bagi memperluas perkhidmatan di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pembukaan cawangan itu adalah bagi mengambil perhatian serius dan meminta masyarakat menyalurkan maklumat salah guna kuasa bagi membanteras kegiatan pendatang asing yang ‘menjajah’ kawasan berkenaan.

Katanya, pada 30 Julai lalu bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Yang ke-65, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah daerah itu sudah mula ‘dijajah’ oleh pendatang asing secara terang-terangan.

“Mengambil contoh tanah di Cameron Highlands, Al-Sultan Abdullah bertitah tanah di kawasan itu yang dipajak dan disewa kepada petani, kini disewakan kepada warga asing, kerana nafsu dan pentingkan wang ringgit sehingga mengadai integriti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pembukaan cawangan baharu SPRM Cameron Highlands hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan mereka yang dipertanggungjawabkan mengalas amanah ini supaya melaksanakan dengan penuh integriti dan tidak sesekali ‘gelap mata’ apabila ditawarkan imbuhan wang.

“SPRM mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Pahang dan akan mengambil perhatian sewajarnya berhubung perkara ini serta berharap masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak kami berhubung salah laku dan salah guna kuasa bagi membanteras kegiatan ini,” katanya.

Tambah Ahmad Khusairi, pihaknya juga berharap penjawat awam terutama pihak berkuasa tempatan dapat membantu SPRM dalam memerangi kegiatan menjajah tanah oleh warga asing di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, berdasarkan statistik SPRM Pahang sejak 2020 sehingga kini sebanyak 1,741 maklumat diterima melibatkan 440 kertas penyiasatan awal dan 384 kertas siasatan.

Jelasnya, SPRM Pahang turut membuat seramai 282 tangkapan dengan 104 kes pertuduhan berserta 56 sabitan.

Berdasarkan statistik itu, di Cameron Highlands SPRM terima 68 maklumat dan membuka 13 kertas penyiasatan, kertas siasatan (tujuh) serta tangkapan (sembilan) manakala kes pertuduhan dengan satu sabitan (tiga).

“Statistik ini menunjukkan SPRM memerlukan satu cawangan di sini (Cameron Highlands) bagi menjalankan aktiviti penyiasatan, pencegahan dan pendidikan masyarakat selain Ibu Pejabat SPRM Pahang di Kuantan, cawangan di Raub serta cawangan di Temerloh,” ujar beliau.

Beliau berkata, dengan pembukaan cawangan baharu ini diharapkan agar kes-kes rasuah di daerah berkenaan dapat menunjukkan penurunan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI