fbpx

Pesakit kanser lari 208KM bawa obor rai Hari Kemerdekaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAHMI (empat dari kiri) teruja memegang arca obor yang akan dibawa pesakit kanser pada acara larian sempena Hari Kemerdekaan ke-67 di pejabat NCSM, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seramai 2,000 peserta termasuk pesakit kanser dijangka melakukan larian obor rentas negeri sejauh 208 kilometer sempena meraikan Hari Kemerdekaan ke-67, yang akan disambut negara hujung bulan ini.

Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. M. Murallitharan berkata, program itu merupakan yang julung kali diadakan oleh persatuan itu di bawah acara Relay For Life 2024.

Katanya, larian obor itu akan berlangsung selama dua hari pada 24 dan 25 Ogos merentasi Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka meliputi 85 titik temu (checkpoint).

“Kita membuka penyertaan ini kepada semua pesakit kanser yang mempunyai daya upaya untuk melakukan larian serta masyarakat setempat dan dijangkakan mininum seramai 2,000 peserta akan terlibat.

“Kemasukan adalah percuma, ia bukanlah bagi mengumpul dana tetapi menyatukan komuniti untuk meraikan pejuang kanser dan meningkatkan kesedaran awam tentang penjagaan kanser,” katanya pada sidang akhbar di pejabat NCSM Melaka, hari ini.

Jelasnya, larian itu nanti akan melalui kawasan komuniti yang bermula di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dan berakhir di Jalan Padang Jambu, Melaka.

“Setiap pesakit kanser akan melakukan larian antara satu hingga lima kilometer, namun kita ada juga menyediakan larian tujuh kilometer di titik temu ke-40 di Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang remaja lelaki, Shahmi Darwisy Shafaridzuan, 13, yang merupakanp pesakit kanser leukemia memberitahu dia tidak sabar untuk menyertai larian tersebut bagi membuktikan dia juga mampu berlari jauh seperti remaja lain.

“Saya rasa seronok kalau dapat lari beramai-ramai apatah lagi dengan penghidap kanser yang lain dan menunjukkan kepada masyarakat kami bukanlah hanya terlantar di atas katil sahaja tetapi mampu berlari,” katanya.

Orang ramai yang ingin bersama-sama menyertai larian obor itu boleh membuat pendaftaran di laman web relayforlifemalaysia.com atau menghubungi talian 016- 5283799. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI