ALOR GAJAH – Tindakan licik pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan dengan menjalankan perniagaan kilang papan secara haram di dalam ladang kelapa sawit akhirnya berjaya dihidu oleh pihak berkuasa dalam satu serbuan di sini, hari ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang itu, pemilik premis bagaimanapun tidak berada di lokasi, sebaliknya operasi perniagaan yang menghasilkan palet iaitu struktur pengangkut rata itu diuruskan oleh tiga pekerja lelaki dipercayai warga tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Datuk Seri Ghafar Atan berkata, serbuan dibuat hasil risikan pasukan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) kira-kira sebulan lalu yang mengesan kilang berkenaan menjalankan operasi tanpa permit sah.
“Hasil serbuan mendapati kilang ini juga tidak mempunyai pelan yang disahkan dan ini menjadi satu kesalahan dibawah Akta133 Akta Jalan Parit dan Bangunan selain menyalahi dalam Undang-Undang Kecil Tred dan Perniagaan MPAG 2010.
“Pemeriksaan di lokasi menganggarkan lebih 500 palet juga telah siap untuk dijual manakala ratusan papan yang lain masih belum diproses,” katanya pada sidang akhbar di premis itu yang terletak berhampiran Kampung Bukit Hantu di sini, hari ini.
Abd. Ghafar berkata, premis tersebut juga dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun ini dengan memasarkan palet-palet tersebut mengikut permintaan di sekitar Melaka.
“Penguat kuasa MPAG akan terus mengikut rapat operasi perniagaan kilang palet ini untuk memastikan tindakan yang dikenakan pada hari ini dipatuhi oleh pemilik premis.
“Selain kilang ini, kita juga sedang melakukan risikan di beberapa kawasan lain bagi memastikan setiap premis menjalankan perniagaan secara sah dan menerima kebenaran sepenuhnya dari pihak berkuasa tempatan,” katanya.-K! ONLINE