PADANG BESAR – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera selepas motosikal yang dia tunggang terbabas ketika cuba menahan dua penyeludup ganja berhampiran kawasan ladang Chuping, dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, dua anggota dari Bahagian Risik Batalion 1 PGA Ulu Kinta, Perak sedang melakukan risikan di lokasi tersebut sebelum terserempak dengan dua individu menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, suspek bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota bertugas dengan salah seorang daripadanya membuang satu objek ke dalam semak.
“Ketika mengejar suspek, seorang anggota hilang kawalan lalu terbabas dari motosikal dan mengalami kecederaan di muka, lutut serta siku. Suspek pula sempat melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui satu beg galas berwarna hitam mengandungi tiga ketulan mampat dipercayai daun ganja.
“Di dalam beg terdapat beg plastik hitam bertulis ‘fragile’ yang mana di dalamnya terdapat tiga ketulan mampat dibalut kertas timah berwarna emas seberat tiga kilogram dengan anggaran nilai RM9,300.
“Siasatan awal mendapati dadah tersebut dibawa masuk dari Thailand melalui laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 12 kali jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE