KUANTAN – Seorang lelaki berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup apabila didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dengan berat lebih 111 kilogram (kg) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohd Nasir Hassan, 49, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya kanabis dengan anggaran berat kasar 111,663.51 gram pada 1 Ogos lalu kira-kira pukul 9.45 pagi bertempat di tepi jalan berhampiran kedai makan medan Selera Sungai Ular Jalan Kuantan-Kemaman di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 39B(2) Akta yang sama.
Dalam masa sama tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan menggunakan dadah berbahaya iaitu methamphetamine.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan apa-apa jaminan ke atas tertuduh berikutan tertuduh yang disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 .
Majistret menetapkan 13 November depan bagi pertuduhan pertama dan 16 Oktober bagi pertuduhan kedua untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE