KOTA BHARU – Polis sekali lagi menahan Ustaz Budak untuk membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh bekas pelajarnya melibatkan kes cabul di Balai Polis Penarik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu pada Khamis lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pengetua sebuah madrasah di Machang itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Machang pada pukul 5 petang kelmarin.
Katanya, berdasarkan laporan polis yang dibuat, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kerana disyaki mencabul seorang bekas pelajarnya yang berusia 18 tahun.
“Ustaz terbabit kini ditahan reman sehingga 3 Januari depan untuk siasatan lanjut.
” Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan berkaitan perbuatan cabul melibatkan Ustaz Budak di Balai Polis Penarik, IPD Setiu kira-kira pukul 4.38 petang kelmarin.
Laporan itu dibuat bekas pelajarnya yang berasal dari Kampung Bandar Permaisuri, Setiu yang mendakwa dia dicabul oleh Ustaz Budak ketika berada di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Machang dua tahun lalu.-K! ONLINE