fbpx

Sejam cari lokasi 9 mangsa kereta terbakar, rupanya kena ‘prank’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – “Alangkah sedihnya saya apabila satu jam kemudian kami akhirnya dapat panggilan dari MECC (Pusat Panggilan Kecemasan Perubatan) mengatakan ia adalah panggilan palsu.”

Itu kekecewaan yang dizahirkan seorang petugas di bahagian Perubatan Kecemasan Hospital Lahad Datu, Muhamad Na’im Ab Razak, yang terpaksa berdepan dengan satu panggilan palsu ketika bertugas.

Muhamad Na’im berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan dari MECC yang memaklumkan terdapat sembilan mangsa mengalami kecederaan akibat kereta terbakar.

“Dimaklumkan, dua mangsa tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas, manakala tujuh lagi mengalami kecederaan tetapi masih sedarkan diri,” kongsinya di Facebook.

Namun katanya, lokasi yang dikongsikan pemanggil mengelirukan dan berpotensi melibatkan dua kawasan di bawah bidang kuasa berlainan, iaitu Kinabatangan dan Lahad Datu.

“Masalah kawasan tersebut juga termasuk akses komunikasi dan jalan teruk. Apabila kejadian berlaku pada waktu malam, melibatkan ramai mangsa, selain di lokasi yang mencabar untuk dicapai, ia membuatkan kami keliru.

“Bukan mudah untuk ke tempat sebegini. Banyak perkara perlu difikirkan. Aset jabatan, keselamatan staf, jumlah pasukan yang perlu digerakkan ke tempat kejadian, persediaan di jabatan, dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Lebih mengecewakan kata beliau, pemanggil gagal dihubungi menyebabkan pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan sepasukan bomba dan polis.

“Berkali-kali kami cuba hubungi pemanggil, tetapi sama ada tidak berjawab atau tiada liputan. MECC, bomba, dan polis juga berbuat demikian tetapi turut gagal dapatkan pengesahan kejadian.

“Nak tak nak, bomba hantar pasukan, polis menghantar pasukan, dan kami juga menghantar satu pasukan ke tempat kejadian, sambil sediakan jabatan untuk menerima pesakit.

“Zon merah perlu dikosongkan, pesakit yang stabil perlu dimasukkan ke wad. Staf yang kerja syif petang pun terpaksa diminta untuk tunggu, bersedia terima pesakit yang ramai selain merawat pesakit sedia ada,” ujarnya.

Muhamad Na’im berkata, pemilik hanya kembali menelefon MECC selepas mendapati banyak panggilan tidak berjawab dari pelbagai nombor.

“Bayangkan, dalam masa satu jam itu, jika berlaku pelbagai kemalangan atau kejadian buruk lain yang perlukan bantuan bomba, polis, dan hospital ke tempat kejadian, tetapi semua pasukan ini tiada kerana terpaksa ke lokasi panggilan palsu. Tidak mustahil, ada nyawa yang betul-betul terkorban.

“Saya sangat kecewa. Dalam keadaan penat, hati saya remuk dan sangat geram. Tolonglah. Jangan lakukan perkara begini lagi.

“Bayangkan, staf saya kebanyakannya bekerja ‘double shift’ hampir setiap hari, dan kami pula mempunyai ramai pesakit kritikal,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI