PETALING JAYA – Sumbangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam menjatuhkan kerajaan 22 bulan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah benar.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sumbangan Ahmad Zahid menjatuhkan kerajaan 17 bulan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga benar.
Justeru, beliau menyifatkan Mahathir telah kalah kepada Ahmad Zahid memandangkan UMNO masih wujud dan mempunyai tempat untuk berbakti kepada rakyat.
“Segala-galanya (Mahathir) gagal. UMNO tidak mati. Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dapat juga jadi Perdana Menteri dan anaknya Mukriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) tersisih.
“Tun (Mahathir) hanya berjaya memenjarakan Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Mohd. Puad berkata, sumbangan Ahmad Zahid dalam memastikan UMNO berkongsi kuasa hari ini juga benar, namun Mahathir tidak suka mengalah.
“Kali ini dia (Mahathir) kalah. UMNO masih ada tempat berbakti kepada rakyat. Berehatlah Tun. Jasa mu tetap dikenang,” katanya.
Semalam, Mahathir menegaskan Ahmad Zahid bukan ‘hero’ yang menjatuhkannya sebagai Perdana Menteri ke-7 yang didakwa mahu mengharamkan UMNO.
Beliau sebaliknya menjelaskan, keputusannya untuk meletak jawatan secara terhormat dibuat disebabkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak nasihatnya. – KOSMO! ONLINE