TUMPAT – Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD) Kelantan akan memastikan kebajikan anggota polis yang bertugas di kawasan sempadan negara terjaga terutamanya ketika berdepan bencana banjir.
Pengerusinya, Shaari Mahmud berkata, pegawai dan anggota yang bertugas di beberapa balai polis yang berhampiran Sungai Golok telah bersiap sedia bagi menghadapi banjir gelombang ketiga yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Kita mempunyai peruntukan yang cukup untuk semua ahli yang terlibat dengan banjir. Berdasarkan situasi sekarang, kita terpaksa melakukan agihan secara berperingkat kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kita akan salurkan bantuan kepada semua balai polis di seluruh Kelantan dalam masa terdekat. Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban pegawai dan anggota pangkat rendah khususnya mereka yang terjejas banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! selepas mengadakan Lawatan Kebajikan Santunan Kasih PPRPD Kelantan di Balai Polis Kuala Jambu dan Simpangan di sini semalam.
Mengulas lanjut, Shaari berkata, pihaknya juga membantu meningkatkan integriti anggota supaya imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa terjaga.
“Kita juga memberi rangsangan dan dorongan agar membantu masyarakat tanpa rasa jemu. Selain itu, ia juga dapat membantu dalam pelaksanaan tugasan anggota,” katanya. – K! ONLINE.