SEBERANG PERAI – Sebanyak 48 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di kawasan sekitar Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, operasi bermula pukul 5 petang sehingga 12 tengah malam itu bagi mencegah aktiviti lumba haram serta aktiviti sosial yang tidak berfaedah di kawasan tersebut pada setiap hujung minggu.
Katanya, operasi tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah SPU bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah SP serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
“Polis mengeluarkan sebanyak 195 keping saman atas pelbagai kesalahan antaranya pengubahsuaian melampau tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Menerusi pemeriksaan, sebanyak 48 motosikal terbabit disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.
Jelas beliau, kolaborasi pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi seperti itu akan diteruskan bagi menggempur ‘Mat Rempit’ yang tidak menghiraukan undang-undang serta peraturan jalan raya.
“Ia sekali gus demi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE