fbpx

Mohd. Azizi gagal henti PRK Nenggiri, kes saman terhadap empat entiti termasuk Bersatu didengar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azizi.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim gagal dalam permohonan injunksi sementara bagi menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sehingga saman pemulanya terhadap empat entiti didengar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Mohd. Azizi selaku plantif gagal memenuhi keperluan bagi mahkamah membenarkannya memperoleh injunksi sementara berkenaaan.

Kata Roz Mawar, permohonan injunksi itu menimbulkan isu perlembagaannya kompleks yang sesuai ditangani melalui saman pemula.

Justeru mahkamah telah menetapkan 18 Disember ini bagi perbicaraan kes saman Mohd. Azizi terhadap empat entiti yang disaman.

Terdahulu pada 24 Jun lalu, Mohd. Azizi selaku plaintif, memfailkan saman pemula dengan menamakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah,
dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR ) masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menerusi saman pemula itu, Mohd. Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang ketika itu, memohon deklarasi bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Nenggiri tidak boleh diadakan atau dikendali oleh SPR kerana ia masih dipegang oleh beliau.

Beliau turut memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya daripada Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lepas adalah tidak sah, bahawa notis itu sendiri tidak sah dan bahawa pemecatannya dibuat dengan niat jahat.

Mohd. Azizi berkata pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan bahawa keanggotaan akan ditamatkan jika ahli terbabit menyokong parti lawan adalah tidak berperlembagaan.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan oleh Mohd. Azizi bagi menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya kecil bagi DUN itu selepas memutuskan bahawa beliau tidak mengalami sebarang kerosakan kerana masih boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya itu.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu, menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai keahlian Mohd. Azizi yang hilang daripada Bersatu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI