PETALING JAYA – Adat setiap pertandingan, ada yang kalah dan ada meraih kemenangan sekali gus membawa pulang pingat sama ada emas, perak mahupun gangsa.
Bagaimanapun, ‘kegembiraan’ yang dirasai oleh mereka sebenarnya mungkin berbeza dan individu paling gembira adalah pemenang pingat gangsa.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM), secara idealnya, pemenang pingat perak sepatutnya lebih gembira daripada atlet yang berjaya menduduki tempat ketiga.
Bagaimanapun, kata PHM, secara realiti keadaan tersebut berbeza apabila terdapat pengaruh pemikiran sehingga memperlihatkan pemenang pingat gangsa lebih meraikan kemenangannya.
“Pernahkah anda perasan bahawa pemenang pingat gangsa biasanya lebih gembira daripada pemenang pingat perak di akhir pertandingan
“Pingat perak dimenangi selepas kekalahan, tetapi pingat gangsa dimenangi selepas kemenangan. Mungkin ini yang mempengaruhi pemikiran kita tanpa sedar.
“Pemenang pingat perak berfikir, “Adoi… sikit lagi saya hampir menang pingat emas”, namun, pemenang gangsa pula berfikir, “Fuhh lega, sekurang-kurangnya saya mendapat pingat”,” seloroh PHM dalam perkongsian di Facebook.
Tambah PHM, situasi tersebut juga berkait rapat dengan kehidupan manusia apabila ada bersifat tidak menghargai apa yang sudah dimiliki.
“Tetapi lebih berasa sedih dengan apa yang tidak dimiliki. Paling penting tidak perlu membanding kejayaan dan pencapaian orang lain. Setiap hari anda maju ke hadapan adalah hari kemenangan yang perlu dihargai,” pesan PHM. – KOSMO! ONLINE