KEMAMAN – Mangsa yang masih hilang dalam insiden bot karam dipercayai dirempuh sebuah tongkang di perairan Kemaman di sini semalam sempat berkongsi pengalaman kali pertamanya menyertai trip memancing dan mencandat sotong.
Mangsa, Ain Husna Mohamad Husani, 25, telah memuat naik beberapa video menerusi ‘story’ dalam akaun Instagram perbadinya kurang 24 jam sebelum tragedi malang tersebut yang berlaku pada pukul 6.30 pagi tersebut.
Menerusi perkongsian videonya, Ain Husna bersama rakannya, Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang terkorban dalam tragedi tersebut dan beberapa pemancing lain dilihat dalam perjalanan untuk memancing dan mencandat sotong.
Ain Husna turut gembira apabila mendapat seekor sotong bersaiz tapak tangan.
Bot yang bergerak dari Jeti Bukit Kuang pada pukul 5 petang kelmarin turut disertai ibunya, Haziah Harun, 63, dan kakaknya, Ain Farhana, 30, serta bapa saudaranya, Rosnawi Harun, 50 yang terselamat.
Dua lagi pemancing lagi ialah rakan Rosnawi, Mat Ali Alahan, 66, yang terselamat manakala Yusof Kassam, 66, pula masih belum ditemui sehingga semalam.
Bot tersebut dikendalikan tekong tempatan iaitu Saipul Ridzuan Osman, 50, dan rakannya, Shahril Ismail,50.
Shahril turut dijumpai lemas pada pukul 1 tengah hari kelmarin menjadikan jumlah mangsa yang terkorban kini disahkan dua orang. – KOSMO! ONLINE