KUALA LUMPUR – Saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) yang akan membuka tirai Oktober ini dijangka akan berlangsung lebih menarik dengan menyaksikan juara bertahan Pahang akan terus mendapat perhatian sebagai pilihan utama untuk menguasai edisi ke-102 kali ini.
Pada undian yang dilakukan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput hari ini, Tok Gajah berada dalam Kumpulan D bersama Bomba, Kelantan dan Pulau Pinang.
Melaka yang hadir selaku tuan rumah pula berada dalam Kumpulan A bersama Kuala Lumpur, Perak dan Perlis.
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Tun Mohd Ali, berkata saingan kali ini dijangka berlangsung sengit dan menarik memandangkan semua pasukan sudah pun melakukan persiapan rapi.
“Bagi venue Kumpulan A membabitkan Stadium Hang Tuah dan Padang SMK Tun Tuah manakala Kumpulan B di Stadium Tun Fatimah dan Henry Gurney selain Dragor Bukit Katil dan Wisma MAFA (Kumpulan C).
“Saingan Kumpulan D pula di Komplek Rakan Muda Lendu dan UiTM Alor Gajah sementara sesi latihan di Wisma MAFA. Penganjur juga menyediakan venue simpanan di Universiti Multimedia (MMU) dan UiTM Jasin,” katanya.
Kumpulan B akan membabitkan persaingan antara Selangor, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan manakala Kumpulan C pula diwakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – KOSMO! ONLINE