fbpx

Sultan Johor murka kebersihan Mersing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kebersihan kawasan pantai sekitar Mersing sehingga menimbulkan kemurkaan Sultan Ibrahim selepas baginda melakukan tinjauan hari ini. Foto ROYAL PRESS OFFICE

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan sikap segelintir penduduk di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat-tempat awam dipenuhi sampah sarap.

Sultan Ibrahim bertitah, Mersing yang merupakan sebuah daerah pelancongan bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong dari luar negara, malah kaya dengan keindahan alam semula jadi.

Baginda menegaskan sekiranya tabiat ini berterusan akan memberi kesan negatif kepada aspek kesihatan awam.

“Saya amat sedih dengan apa yang saya lihat di beberapa kawasan yang ditinjau. Apa nak jadi dengan Mersing? Sepatutnya tempat pelancongan tetapi apabila pelancong sampai, disambut sampah.

“Tidak malukah kita jika menjemput orang ke rumah sendiri tetapi keadaannya tidak sedap mata memandang? Ubahlah perangai dan buang sikap pengotor,” titah baginda kepada Royal Press Office hari ini.

Sultan Ibrahim berkata, Mersing perlu mencontohi daerah Muar apabila Bandar Maharani telah dinobatkan sebagai Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN pada tahun 2018.

“Mersing mempunyai potensi yang besar untuk terus dimajukan dalam sektor eko-pelancongan, dan ia juga pintu utama untuk ke pulau-pulau pelancongan sekitar.

“Saya ada pelbagai idea untuk menarik pelaburan dan kemajuan untuk sektor di Mersing, tetapi rakyat juga perlu mainkan peranan menjaga kebersihan di sini. Tidak ada orang yang nak berkunjung ke tempat yang kotor,” titah baginda.

Baginda turut bertitah mahu pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan kompaun secara efektif supaya rakyat lebih berdisiplin.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI