fbpx

Tahun 2020 sangat buruk, Amar Asyraf menyesal sakitkan hati ramai orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMAR ASYRAF

PETALING JAYA – Pelakon Amar Asyraf menyalahkan dirinya atas beberapa perkara yang berlaku dalam hidup selama ini.

Menerusi status panjang lebar yang ditulis dalam Instagramnya, pelakon berusia 34 tahun itu mengakui hidup tertekan dengan pelbagai perkara yang berlaku, khususnya sepanjang tahun 2020.

“Tahun 2020 adalah tahun yang sangat buruk. Saya rasa kehilangan, marah, geram. Rasanya seperti saya sedang melawan dunia seorang diri.

“Duit tidak cukup, kes mahkamah syariah, nama kena tolak dengan stesen televisyen, boros sebab tekanan dan macam-macam perkara lagi. Semuanya salah diri sendiri,” ujarnya.

Amar berkata, dia juga telah menyakiti keluarga, rakan dan orang di sekelilingnya dengan sikap dan tingkah laku yang tidak baik.

LUAHAN kekesalan hati pelakon Amar Asyraf tentang kesalahan dan keburukan yang telah dilakukan sepanjang tahun 2020.

“Saya geram dengan kegagalan sendiri tapi tidak buat apa-apa dan tidak mampun buat apa-apa untuk saya ubah kehidupan sendiri. Bukan salah siapa tapi salah diri sendiri. 

Dalam perkongsian tersebut, Amar turut mendedahkan telah menyakiti individu sekelilingnya termasuk keluarga iaitu ibu dan bapa serta dua orang anaknya, Taufiq dan Dian.

“Saya menyakiti mereka dengan tingkah laku saya yang tidak bagus. Saya menyerah untuk menjadi lelaki yang baik bertahun-tahun lalu.

“Saya tidak menjaga kesihatan dengan merokok begitu banyak. Saya membiarkan ego saya menang. Saya malah mempersoalkan Allah. Kenapa saya?,” ujarnya penuh kesal.

Pelakon yang pernah membintangi drama Cikgu Papa Kirim Salam itu juga menyifatkan kehidupannya dunia selama ini sangat buruk dan berasa tidak adil kerana membiarkan dirinya dikelilingi oleh unsur negatif.

“Saya mempunyai beberapa peluang untuk berjaya dalam hidup tetapi saya telah merosakkan diri sendiri,” katanya yang merasakan sudah sampai masanya untuk dia berubah, mencari dan mengenal diri sendiri.

AMAR berjanji mahu membaiki diri menjadi lelaki yang lebih baik pada masa akan datang.

Dalam perkongsian itu juga, Amar turut memohon maaf kerana telah banyak mengecewakan orang dan menyesal atas kesilapan yang telah dilakukan.

“Saya mahu ubah hidup. Mahu jadi lebih positif. Sudah tiba masanya untuk saya mencari diri dan mengenal diri sendiri. 

“Hanya saya yang mampu ubah hidup bukan orang lain. Saya nak anak-anak ada masa depan yang lebih baik. Untuk Taufiq dan Dian,” katanya

Terdahulu, Amar yang telah memiliki dua orang isteri, Arna Salleh dan Vivy Jeffry telah mencetuskan kontroversi selepas ingin berkahwin untuk kali ketiga bersama seorang wanita bernama Ellika Azman.

Namun wanita tersebut membatalkan hasratnya untuk berkahwin dengan Amar selepas mengetahui bahawa pelakon tersebut telah pun beristeri dua.

Amar sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas menceraikan isteri keduanya, Vivy yang juga merupakan seorang penerbit di sebuah stesen televisyen dengan talak tiga pada 4 November 2019.

Pelakon itu mendirikan rumah tangga dengan isteri pertamanya, Arna pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan dua orang cahaya mata sebelum mengahwini Vivy sejak beberapa tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI