PETALING JAYA – Lelaki yang menyerang dua wanita di kawasan di surau Al-Ehsaniah Ahmadiah berhampiran Sekolah Rendah Agama (SRA) di Kelana Jaya, di sini, Jumaat lalu disenaraikan sebagai individu dikehendaki.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek berkenaan telah dikenal pasti dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.
“Siasatan awal juga kedua-dua mangsa tidak mengenali suspek dan menafikan suspek adalah kekasih kepada salah seorang mangsa,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Kosmo! melaporkan polis sudah merakam keterangan tujuh individu termasuk guru besar yang menjadi mangsa serangan lelaki itu.
Guru besar itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk rakaman percakapan selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Dua wanita yang ditikam membabitkan seorang guru berusia 52 tahun dan seorang jurujual berusia 26 tahun. – KOSMO! ONLINE.