KUALA LUMPUR – Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjadi harapan tunggal Malaysia untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada aksi saringan kelima yang berlangsung di Velodrom Saint Quentin en Yvelines, Paris sebentar tadi, atlet berusia 29 tahun itu menamatkan saingan di tempat ketiga, sekali gus perlu beraksi dalam repechages.
Bagaimanapun, Shah dilucutkan posisi tersebut dan menyaksikan dia berada di kedudukan keenam, namun ia tidak memberi kesan untuknya beraksi dalam saingan repechages nanti.
Sebagai rekod, hanya dua pelumba teratas yang akan melayakkan diri ke pusingan suku akhir secara automatik dan ia menjadi milik atlet Trinidad and Tobago, Nicholas Paul serta pelumba Poland, Mateusz Rudyk.
Pada saingan repechages yang akan berlangsung selepas ini, Shah berada dalam saringan ketiga bersama James Hedgcok dari Kanada, Andrey Chugay (Kazakhstan), Kwesi Browne (Trinidad and Tobago) dan Cristian Ortega (Colombia).
Terdahulu, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tersingkir daripada saingan selepas penyertaannya pada saringan pertama dibatalkan selepas dia didapati memintas pacer terlalu awal. – KOSMO! ONLINE