PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pegawai penguat kuasa sebuah jabatan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang penyeludupan.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 30-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang tadi dalam satu operasi yang dijalankan SPRM Sabah di Pekan Keningau.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini.
“Suspek disyaki meminta rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok sekitar Keningau dan melepaskan lori serta barang penyeludupan yang telah ditahan oleh jabatan itu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Katanya, suspek akan di bawa ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah, esok bagi mendapatkan permohonan reman dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan mengenai kes ini akan dibuat.- KOSMO! ONLINE