Biarpun telah ‘bebas’ selepas bercerai talak satu pada 13 Jun lalu, kontroversi melibatkan pelakon dan penyanyi Bella Astillah bersama bekas suaminya, Aliff Aziz nampaknya masih belum menemui titik noktah.
Terbaharu, Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabella Awang Astillah, 30, didakwa tidak membenarkan Aliff dan keluarga di Singapura untuk bertemu dua anaknya, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Kata Bella, dia bukan sengaja menghalang Aliff mahupun keluarga di Singapura daripada berjumpa atau berhubung dengan anak-anaknya tetapi sebagai ibu dia harus melindungi mereka.
“Sebenarnya perkara ini perlu ambil masa, ada beberapa faktor yang saya tidak boleh kongsikan kepada semua. Saya pun faham orang sudah penat dengan cerita kami.
“Buat masa sekarang kita perlu sejukkan hati keluarga masing-masing kerana tidak semudah ABC untuk kembali kepada keadaan normal.
“Banyak benda yang perlu diihat balik terutama perasaan ibu dan bapa saya. Sebenarnya pihak sana (keluarga Aliff) tahu isunya, tidak perlu saya ungkapkan lebih lanjut. Perkara ini ambil masa tetapi saya pasti pertemuan akan berlaku cuma bukan dalam masa terdekat,” jelas Bella.
Selepas perkahwinannya musnah dengan perceraian dan pelbagai kontroversi panas, kata Bella dia harus mengambil masa untuk menghadam semua perkara.
Tambah Bella, sebelum ini dia langsung tidak berniat untuk menghalang keluarga Aliff daripada berhubung dengan anak-anaknya.
Namun, bagi mengelakkan anak-anak keliru, tindakan menghalang pertemuan buat sementara waktu antara kedua-dua keluarga adalah langkah terbaik.
“Saya minta maaf mungkin ada yang mempersoalkan tindakan saya melarang untuk mereka berhubung.
“Bukan saya larang tetapi saya tidak mahu minda anak terutama Ayden keliru. Pernah sekali ketika hari raya keluarga Singapura ada buat panggilan video.
“Pihak sana cakap kasihan Ayden nampak tertekan mesti dia risaukan Daddy dia. Sebenarnya Ayden okey sahaja. Tetapi ayat-ayat yang dikeluarkan buat Ayden keliru. Jadi, sejak itu saya fikir memang perlu tapis dan tunggulah masa yang sesuai (untuk kembali berhubung),” jelas Bella.
Doa buat Aliff
Dalam pada itu Bella turut mengakui khilaf diri apabila ramai mempersoalkan tindakannya yang aktif bekerja dalam tempoh idah.
“Saya minta maaf ramai yg komen mengenai idah, ada silap daripada saya juga. Tetapi semua orang tahu saya ada dua anak tambahan saya anak sulung jadi banyak tanggungjawab dan komitmen yang harus dilunaskan setiap bulan.
“Komitmen kerja juga harus ditunaikan dan saya anggap rezeki yang hadir adalah untuk anak-anak,” tutur Bella yang kini bahagia menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai video bekas suaminya kembali mendalami agama bersama kumpulah tabligh yang tular di aplikasi TikTok baru-baru, Bella hanya mendoakan yang terbaik.
Bagi Bella, Aliff kini adalah sejarah masa lalunya dan dia enggan mencampuri soal hidup aktor kelahiran Singapura itu.
“Saya tidak tahu dan tidak mahu komen lebih-lebih. Sebab itu adalah perjalanan hidupnya.
“Lagipun kita tidak tahu apa niat sebenar seseorang itu. Kalau betul berubah, alhamdulillah.
“Sekiranya dia mahu berubah ke arah yang lebih baik, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik sahaja,” kata Bella yang ditemui pada sidang media Konsert Jiwa Malaysia 2024 baru-baru ini.