LIPIS – Lipis dipilih sebagai lokasi perintis di Pahang yang menerapkan elemen gamifikasi inovatif bertujuan menarik minat dan penyertaan lebih ramai individu dalam bidang pekerjaan yang ditawarkan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, platform itu disediakan untuk pencari kerja mengenali pelbagai peluang kerjaya melalui elemen permainan yang mendidik dan menghiburkan.
Katanya, aktiviti gamifikasi seperti simulasi pekerjaan, cabaran kemahiran serta pertandingan interaktif bukan sahaja memperkenalkan peserta kepada dunia pekerjaan yang sebenar, tetapi juga membantu mereka mengasah kemahiran yang relevan dan meningkatkan keyakinan diri.
“Hari ini sesi temuduga kita ada satu kaedah baharu digunakan yang mana cara pemikiran yang kita hendak ambil berkaitan kekreatifan, maknanya ia tidak bergantung kepada akademik sahaja dengan menjawab soalan tetapi kita adakan juga permainan ‘games’.
“Ini adalah kaedah baharu yang diwujudkan dan kita menerima pandangan dari Perkeso adakah kaedah ini bersesuaian kerana ini adalah projek rintis.
“Sekiranya tidak bersesuaian mungkin kita tukar kepada kaedah lain tetapi kalau bersesuaian kita akan teruskan di tempat-tempat lain,”katanya pada sidang akhbar sempena Karnival Kerjaya MYFutureJobs Kuala Lipis 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, lebih 1,000 jawatan kosong ditawarkan daripada 15 majikan yang terdiri daripada pelbagai sektor di Karnival MYFutureJobs Kuala Lipis bermula semalam.
Menurutnya, sempena karnival itu juga, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Perkeso turut menyalurkan pembayaran faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) kepada enam penerima di Pahang dengan nilai keseluruhan melebihi RM207,000.
“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Suku Pertama 2024 kadar pengangguran di Pahang berada pada tahap guna tenaga penuh iaitu 2.6 peratus.
“Untuk tahun ini sehingga 26 Julai 2024, seramai 2,335 warga Pahang berjaya ditempatkan (memperoleh pekerjaan) hasil inisiatif berterusan Kesuma melalui Perkeso yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan tenaga kerja tempatan khususnya di negeri Pahang,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE