fbpx

Zain Saidin terkena ‘sumpahan’ Mr. Henry Middleton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zain tidak pernah sekali-kali menyalahkan karakter Mr. Henry kerana watak itu pernah menjulang namanya.

PETALING JAYA – Lama tidak muncul dalam sebarang projek drama, pelakon Zain Saidin mendedahkan dia terkena ‘sumpahan’ naskhah yang cukup sinonim dengan dirinya iaitu Oh My English sehingga kini.

Menurut Zain atau nama lengkapnya Mohammad Zain Mohd Saidin, 40, watak Mr. Henry Middleton yang dijayakan menerusi siri drama tersebut beberapa tahun yang lalu begitu kuat sehingga susah untuk orang menerimanya melakonkan watak lain.

Ramai penerbit dan pengarah pernah beritahu saya bahawa mereka tidak nampak saya boleh bawa watak lain selain watak cikgu.

“Apabila perkara sebegini terjadi, sebagai seorang pelakon semestinya saya rasa kecewa. Bila ada produksi yang tawarkan watak, stesen televisyen pula tak lepas.

“Sehinggakan kalau ada produksi yang tawarkan watak, saya beritahu mereka supaya hantar nama pada stesen televisyen terlebih dahulu. Tengok sama ada lepas atau tidak,” katanya ketika ditemui pada sidang media Kempen Merdeka Astro baru-baru ini.

Namun kata suami kepada aktres popular Rozita Che Wan atau Che Ta itu, dia tidak pernah sekali-kali menyalahkan karakter Mr. Henry kerana watak itu pernah menjulang namanya.

Disebabkan jarang berlakon, Zain yang juga merupakan adik kepada penyanyi Sasha Saidin ini lebih menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan.

“Saya masih perlu menyara keluarga. Jadi saya fokus dengan bisnes. Bila saya fokus dengan bisnes orang ingat saya dah tak mahu berlakon dan tinggalkan dunia lakonan. Sedangkan mereka tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi.

“Ada juga yang beranggap Che Ta tidak benarkan saya berlakon. Tuduhan itu tidak benar kerana dia tidak pernah menghalang saya. Dia lagi suka saya berlakon kerana duit hasil lakonan nanti digunakan untuk menyara keluarga juga,” kongsinya.

Ditanya adakah kerana wajah ‘mat salih’ yang dimilikinya menjadi salah satu faktor kenapa tiada tawaran dalam bidang lakonan, Zain tidak menolak teori itu.

“Selalunya yang menjadi masalah adalah siapa pelakon yang akan menjadi ibu dan bapa saya dalam drama. Takkan setiap kali dalam drama saya kena jadi anak angkat? Memang situasi ini sering terjadi pada saya.

“Saya rasa ada sahaja pelakon yang boleh jadi ibu dan bapa saya contohnya Mustapha Kamal dan Dian P Ramlee.

“Saya faham situasi ini. Kerana darah Inggeris daripada ibu saya begitu kuat. Tetapi takkanlah tiada ‘job’ langsung untuk saya?,” katanya yang mengidamkan watak antagonis. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI