TAPAH – Taktik licik pengedar dadah cuba menyeludup bahan terlarang itu dengan menggunakan dron ke Penjara Tapah di sini gagal selepas peralatan itu ditemui petang semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima laporan daripada sarjan penjara mengenai penemuan dron berwarna putih di atas bumbung Blok Aman Penjara Tapah semasa membuat rondaan bersama rakan setugas.
“Pemeriksaan lanjut lelaki itu menjumpai beg yang digantung pada dron tersebut. Di dalamnya terdapat satu plastik berisi tiga peket serbuk putih disyaki heroin seberat 122 gram.
“Turut ditemui dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram,” katanya di sini hari ini.
Modus operandi yang digunakan suspek adalah membawa masuk dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron dan ia merupakan kes pertama yang dilaporkan di Perak.-KOSMO! ONLINE