BRASILIA – Sebuah kapal terbang membawa 57 penumpang dan empat anak kapal terhempas di negeri Sao Paulo semalam, menyebabkan semua penumpang dan kru terkorban, kata syarikat penerbangan Voepass.
Pesawat ATR 72-500 milik Voepass itu dalam penerbangan dari Cascavel di negeri Parana, selatan Brazil, menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo apabila terhempas di bandar Vinhedo.
Voepass pada mulanya berkata, pesawat itu membawa 58 penumpang tetapi kemudian mengubah angka kepada 57.
Rakaman video disiarkan media tempatan menunjukkan sebuah pesawat penumpang berpusing dan menjunam dalam keadaan hampir menegak, manakala rakaman lain memaparkan asap hitam berkepul-kepul naik ke udara dari lokasi nahas di sebuah kawasan perumahan.
“Tiada mangsa yang terselamat,” kata pentadbiran tempatan di Valinhos yang terlibat dalam operasi menyelamat di Vinhedo kepada AFP.
Bandar Vinhedo yang mempunyai kira-kira 76,000 penduduk, terletak kira-kira 80 kilometer ke barat laut Sao Paulo.
“Usaha mengenal pasti identiti mayat telah bermula dan akan diteruskan sepanjang malam,”kata Gabenor Negeri Sao Paulo, Tarcisio de Freitas kepada pemberita di tempat kejadian.
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dalam pada itu mengisytiharkan tiga hari berkabung.
Voepass berkata, ia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kemalangan sambil memberi bantuan penuh kepada waris korban Penerbangan 2283 tersebut.
Pesawat enjin kipas berkembar itu berlepas tanpa sebarang masalah dengan semua sistemnya beroperasi, kata Voepass
Agensi kemalangan penerbangan Brazil, CENIPA telah melancarkan siasatan.
ATR yang merupakan pengeluar pesawat Perancis-Itali dan juga anak syarikat Airbus menyatakan, pakar-pakarnya sedang berusaha untuk membantu penyiasat.
Pemandu lori, Martins Barbosa, 49, sedang bekerja apabila dia melihat nahas pesawat itu kira-kira 150 meter dari rumahnya.
“Saya bimbang pesawat itu akan menimpa rumah dan anak saya yang berada di dalam,” katanya kepada AFP.
Nathalie Cicari yang tinggal berhampiran lokasi nahas memberitahu saluran berita CNN Brasil bahawa impak nahas itu sangat ‘mengerikan’.
“Saya sedang makan tengah hari apabila mendengar bunyi yang sangat kuat berhampiran.
“Saya keluar di balkoni dan melihat pesawat itu berpusing. Dalam beberapa saat, saya menyedari bahawa ia bukan pergerakan biasa bagi pesawat,” katanya.
Cicari tidak cedera tetapi terpaksa mengosongkan rumahnya yang dipenuhi asap hitam akibat kemalangan itu.
“Saya tiba di tempat kejadian dan melihat mayat bergelimpangan di atas tanah,” kata saksi lain, Ricardo Rodrigues kepada saluran berita tempatan, Band News.
Anggota bomba, polis tentera dan pertahanan awam negeri telah dikerahkan ke tempat kejadian.
Polis tentera memberitahu media tempatan, kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan di darat dan api yang dicetuskan oleh nahas itu telah dapat dikawal.
Kotak hitam pesawat juga ditemui dan berada dalam keadaan baik, kata pegawai keselamatan negeri Sao Paulo, Guilherme Derrite kepada pemberita di tempat kejadian.
Pesawat itu merekodkan penerbangan pertamanya pada April 2010, demikian menurut laman web planespotters.net.
Tidak termasuk nahas semalam, data CENIPA menunjukkan Brazil telah merekodkan 108 kemalangan pesawat setakat tahun ini dengan 49 kematian. Sepanjang 10 tahun yang lalu, seramai 746 orang telah meninggal dunia dalam 1,665 kemalangan udara di Brazil. – AFP