TOKYO – Seorang lelaki berusia 45 tahun di Jepun memutuskan untuk bersikap kedekut pada awal 2000-an demi menikmati kehidupan selesa selepas bersara, lapor portal berita MSNews hari ini.
Dia bekerja di sebuah syarikat yang memerlukan kerja lebih masa hingga lewat malam.
Majikannya memberitahu bahawa kerja keras dan lebih masa adalah kunci kebahagiaan pada masa depan.
Dia kemudian hanya makan nasi dalam air sejuk untuk menjimatkan wang supaya boleh bersara awal.
Lelaki itu menggunakan strategi menyimpan wang secara ekstrem.
Selama lebih 20 tahun, dia tinggal di asrama syarikat dan membayar sewa hanya 30,000 yen (RM901) sebulan. Lelaki itu juga menggunakan peralatan dan perabot terpakai untuk kediamannya.
Kadang-kadang, dia bergantung kepada minuman tenaga yang diperoleh melalui mata ganjaran di kedai serbaneka atau minum cola dan biskut sambil menonton filem bertemakan penjara.
Ini adalah kerana dia cuba membandingkan kesusahan yang ditempuh dengan hukuman penjara selama 20 tahun.
Akhirnya dia bergelar jutawan setelah berjimat cermat selama 21 tahun.
Dedikasi lelaki itu membuahkan hasil awal tahun ini apabila dia berjaya menyimpan wang sebanyak 135 juta yen (RM4.05 juta) selepas hampir 21 tahun bersama syarikat itu.
Diilhamkan oleh gaya hidupnya yang berjimat cermat, dia mula menulis buku tentang menyimpan wang sekali gus menambah pendapatannya.
Namun, kini dia diulit perasaan bimbang kerana simpanannya semakin berkurangan disebabkan nilai yen semakin menyusut. – AGENSI