SHAH ALAM – Laman sosial Twitter dan Facebook rasmi Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat semalam diserang netizen yang mendakwa pihak berkuasa itu pilih kasih dalam menyelesaikan masalah jalan berlubang dan tidak rata yang dialami antara rakyat biasa dengan orang kenamaan.
Rata-rata mereka menyatakan rasa tidak puas hati apabila JKR Kuala Langat membuat permohonan maaf kepada Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ahli Parlimen Rembau itu cedera apabila terjatuh ketika melalui jalan yang tidak rata dan berlubang semasa berbasikal di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting pada pukul 11 pagi kelmarin.
Permohonan maaf itu dibuat ketika JKR Kuala Langat membalas ciapan Twitter Khairy kira-kira lima jam selepas beliau ditimpa kemalangan.
Lebih membuatkan netizen ‘panas’ apabila JKR Hulu Langat tidak memerlukan laporan atau masa berhari-hari untuk membaiki dan menurap jalan tersebut.
Netizen turut membanjiri ruangan komen selain mempersendakan JKR Kuala Langat yang lebih mementingkan menteri berbanding rakyat biasa.
Seorang pengguna laman sosial Facebook, Hasbullah Othman menyifatkan tindakan itu lebih kepada menjaga kedudukan masing-masing.
“Menteri kayuh basikal langgar lubang, JKR terus mohon maaf dan tampal jalan. Jalan berlubang lain berlambak dan rakyat kemalangan kerana lubang tiada pula buat mcm ni ya… Berat sebelah…. Bodek semua… Kipas lipas… Jasa Kepada Rakyat,” tulisnya.
Mrr. Shah pula menyindir dengan meminta lebih ramai menteri menjalankan aktiviti berbasikal di Kuala Langat bagi menyelami pemasalahan rakyat.
“Saya syorkan menteri banyakkan aktiviti berbasikal di Kuala Langat, makin ramai menteri berbasikal makin elok jalan. Mungkin sifar lubang, tar cantik dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di laman Twitter JKR Kuala Langat menunjukkan seorang pengguna dengan nama AZaM menyatakan pembaikan jalan hanya akan dilakukan sekiranya berlaku kematian.
“Kalau rakyat biasa langgar lubang sampai ada yang meninggal pun, buat bodoh je.. Sampai kena ada surat untuk proses. Hmmmmm sedih plak bila ada double standard macam ni,” ciapnya.
Dalam pada itu, rata-rata akaun kumpulan di Facebook juga mempermainkan isu permohonan maaf tersebut termasuk My Kuala Langat yang mengkhususkan kepada penduduk di daerah itu dengan mempamerkan lokasi-lokasi kejadian berkaitan lubang jalan raya.
“Semua ini kemalangan akibat langgar lubang dan yang menariknya semua ini hanya melibatkan rakyat biasa, bukan menteri. Tapi kenapa Jabatan Kerja Raya Daerah Kuala Langat tak pernah ada sedikit pun rasa minta maaf?” soal pengendalinya.