PETALING JAYA – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) telah menerima Akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) yang berprestij dan diiktiraf di peringkat global, The Gold Seal of Approval di bawah Program Hospital.
Pengiktirafan yang diperoleh baru-baru ini menempatkan SMC sebagai hospital pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi utama bagi seluruh hospital, termasuk Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).
Ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan. Pencapaian ini secara tidak langsung membuktikan komitmen SMC untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan meletakkan standard tertinggi dalam penjagaan dan keselamatan pesakit.
Menurut Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long, kejayaan SMC mendapat akreditasi JCI ini membuktikan bahawa pusat perubatan itu meletakkan standard tertinggi dalam keselamatan pesakit dan memenuhi keperluan serta perkhidmatan terbaik secara keseluruhan.
“Kami menerima kunjungan hampir sejuta pesakit dari dalam dan luar negara setiap tahun.
“Oleh itu, kami ingin menyediakan perkhidmatan yang baik dan selesa kepada pesakit serta keluarga mereka sepanjang berada di sini.
“Pengiktirafan daripada JCI ini amat penting bagi kami seiring dengan ulang tahun ke-25 SMC pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, akreditasi JCI yang diterima SMC bukan sahaja menekankan dedikasi mereka untuk menyediakan penjagaan berkualiti tinggi, tetapi juga meletakkannya sebagai pemain utama dalam menunaikan objektif penjagaan kesihatan Malaysia.
“Dengan menetapkan penanda aras dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan, ia turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kebolehcapaian dan piawaian penjagaan kesihatan sejajar dengan matlamat utuh yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan Malaysia.
“Rakan strategik Kementerian Kesihatan boleh bergantung kepada sektor swasta seperti Sunway untuk mempromosikan pencegahan dalam penjagaan kesihatan, intervensi awal dan pendidikan kesihatan, sekali gus memupuk masa depan yang lebih sihat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Suruhanjaya Bersama Antarabangsa, Andrew Rosen berkata, Akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa melengkapkan hospital dengan proses yang membantu memacu penambahbaikan merentasi pelbagai bidang meliputi peningkatan pendidikan kakitangan kepada mempamerkan amalan utama dalam persekitaran hospital.
“Kami memuji Pusat Perubatan Sunway atas komitmennya untuk menjadi organisasi penambahbaikan kualiti dan mencapai Gold Seal of Approval®️ JCI, simbol kualiti dan keselamatan pesakit yang diiktiraf secara universal,” katanya.
Kejayaan meraih akreditasi ini meletakkan SMC sebaris dengan organisasi penjagaan kesihatan elit lain di seluruh dunia yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang penjagaan pesakit, rawatan dan keselamatan. – KOSMO! ONLINE