JEMPOL – Pemuda dijatuhkan hukuman dua bulan penjara dari tarikh ditangkap di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, selepas mengaku bersalah menikam ibunya dalam kejadian di Felda Raja Alias, Jun lalu.
Tertuduh berusia 20 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak. Majistret 1 Julai lalu mengarahkannya menjalani pemerhatian mental selama sebulan di Hospital Permai.
Difahamkan, lelaki tersebut disahkan mengidap mild depression, walau bagaimanapun masih boleh membuat pengakuan.
Berdasarkan pertuduhan, pemuda itu dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas ibunya berusia 48 tahun menggunakan pisau. Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.50 tengah hari di sebuah rumah di Felda Raja Alias pada 22 Jun lalu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol telah menerima maklumat dari MERS 999 berlaku pentengkaran di lokasi tersebut dan siasat awal mendapati seorang wanita telah ditikam di belakang badan.
Siasatan lanjut mendapati punca kejadian disebabkan tertuduh tidak dapat menerima keadaan ibunya yang mengalami kemurungan sehingga mengabaikan pendidikan adiknya.
Malah tertuduh juga tidak mahu nasib yang menimpa dirinya diabai dari segi emosi selepas penceraian ibu bapa turut dialami oleh adiknya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya menyatakan sangat menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama. – KOSMO! ONLINE