fbpx

Bayar RM16,000 demi layanan ‘super VIP’ di bilik karaoke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian yang ditahan dalam Operasi Op Gegar oleh JIM Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur telah menggempur sebuah pusat hiburan di ibu negara yang menyediakan bilik karaoke ‘super VIP’ dengan bayaran sehingga RM16,000, awal pagi tadi.

Operasi Op Gegar yang bermula kira-kira jam 2.30 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.

Difahamkan, pengunjung yang mahu menjadi ahli pusat hiburan itu juga mesti mempunyai sekurang-kurangnya RM100,000 dalam akaun bank sebelum keahlian mereka diterima.

Caj bagi bilik-bilik karaoke pelbagai saiz itu pula dikatakan bernilai sekurang-kurangnya RM10,000 sehingga RM16,000 bagi setiap sesi.

Ia juga dilengkapi dengan layanan wanita warga asing sebagai teman minum dan menyanyi selain hanya dikhaskan untuk ahli tetap sahaja.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 50 individu ditahan dan diperiksa dalam serbuan terbabit.

“Kami menahan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk sembilan wanita berusia lingkungan 20 hingga 43 tahun.

“Wanita yang ditahan disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO), manakala lelaki merupakan pekerja di premis berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah serta salah guna pas.

“Semua tangkapan dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI