PETALING JAYA – Seorang isteri mengakui sudah penat untuk terus menanggung kehidupan keluarganya sedangkan si suami hanya tahu merungut wang belanja tidak cukup setiap bulan.
Menerusi perkongsian cerita di akaun TikTok @masstakaful, wanita tersebut memaklumkan setiap bulan dia perlu berbelanja lebih RM6,000 termasuklah membeli keperluan dapur, membayar pinjaman dua buah kereta dan urusan perbelanjaan anak-anak.
“Boleh tak saya nak pulangkan semula suami saya dekat mak dia. Saya dah letih menabur bakti untuk anak-anak dan suami. Saya rasa dipergunakan sedangkan gaji kami berdua sama.
“Lebihan gaji saya itu saya perlu pula bayar hutang kad kredit bila berbelanja di pusat beli-belah dan minyak kereta ulang-alik pergi kerja.
“Nafkah RM500 suami beri pada saya setiap bulan, itu pun kadang-kadang saya beri dia semula RM100 atau RM200 bila dia dah kering,” luah wanita itu.
Ibu kepada empat anak itu memaklumkan, suaminya hanya melaksanakan empat komitmen setiap bulan melibatkan bayaran rumah, pinjaman peribadi, wang belanja buat mentua serta yuran anak kedua.
“Yuran sekolah dan pengasuh untuk anak pertama, ketiga dan keempat perlu ditanggung sendiri.
“Beli baju anak-anak juga duit saya. Nak bawa keluarga berjalan juga duit saya.
“Saya tak faham kenapa suami selalu cakap duitnya tak cukup. Gaji sama. Sudahnya mesti duit saya yang kena keluar lebih dari dia,” katahya.
Sementara itu, kisah kehidupan wanita tersebut turut mendapat perhatian ramai dan rata-ratanya menganggap tindakan si suami yang kedekut untuk berbelanja lebih terhadap keluarga adalah punca wang gajinya tidak pernah cukup.
“Suami kedekut memang hidupnya tak berkat, bagilah gaji puluh ribu pun, kalau jenis berkira dengan anak bini memang tertekan sahaja,” kata Noorlela.
“Patutnya untuk bagi pada mak bagi selesai dulu tanggungjawab dan hak untuk isteri dan anak-anak. Ada lebih, baru bagi mak,” kata Dakda.
“Susah jenis dapat suami suka pergunakan isteri. Dia tahu isteri ada duit, semua dia bebankan isteri bayar itu bayar ini, ujar Nasr. – KOSMO! ONLINE