MOSCOW – Seorang penari di Rusia ditembak mati di jalan raya Moscow dipercayai akibat menjalin hubungan sulit dengan seorang ahli politik tempatan.
Natalia Pronina, 30, dibunuh oleh pembunuh bertopeng yang melepaskan tembakan dari jarak dekat.
Menurut laporan akhbar The Sun semalam, penari itu dibunuh ketika dalam perjalanan pulang dari sesi latihan koreografi, baru-baru ini.
Penyerang dilaporkan melepaskan bom tangan untuk mengalihkan perhatian orang ramai yang sedang menjalani sesi penggambaran sebelum menembak mangsa.
Sumber polis mengatakan penembak itu mungkin pembunuh upahan yang dibayar untuk membunuh mangsa.
Polis sedang menyiasat teori bahawa mangsa menjalinkan hubungan jangka panjang tetapi dirahsiakan dengan seorang lelaki kaya dipercayai bertugas sebagai ahli parlimen dan terlatih dalam seni mempertahankan diri, lapor akhbar Moskovsky Komsomolets.
Pasangan itu bercinta sehingga musim panas lalu tetapi apabila isteri ahli parlimen itu mengetahui tentang perhubungan mereka, lelaki itu didakwa berdepan ugutan daripada mangsa, demikian menurut laporan akhbar itu.
Teman lelaki mangsa, Alexander Kravchenko, 33, menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan pembunuhan itu dan memberitahu dia berada di Yalta, Crimea, tempat dia bekerja ketika insiden berlaku.
Dia turut mendakwa Pronina diekori pengintip dan memiliki hutang sebanyak £6,000 (RM33,000) yang perlu dibayar.
Pembunuh Pronina yang sempat dirakam menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dilihat mengenakan hoodie, memakai topeng dan cermin mata.
Suspek juga dipercayai menggunakan senjata tidak berbahaya yang direka semula untuk mengeluarkan peluru hidup.
Sementara itu, rakan-rakan mangsa pula yakin bahawa wanita itu dibunuh atas arahan seseorang yang kecewa kerana cintanya ditolak Pronina.
“Hanya ada seorang suspek yang bertanggungjawab dalam kejadian ini, seorang peminat yang cemburu,” kata seorang kawan bernama Valeria kepada akhbar taboid, Komsomolskaya Pravda.
Seorang bekas rakan sekerjanya, Anzhelika mengatakan mangsa sering menjadi buruan lelaki dek kerana kejelitaannya.
“Dia tidak pernah memiliki hubungan yang serius. Dia bukan jenis yang mengimpikan untuk berkahwin dalam gaun putih dan memiliki anak,” ujarnya.
Pronina yang merupakan penari dewan tarian profesional pernah memenangi hadiah di festival tarian antarabangsa termasuk di Britain.
Dia dikenali kerana berjaya membentuk pasukannya sendiri untuk tampil di parti keramaian ahli korporat dan kelab elit. – Agensi