PETALING JAYA – Kumpulan Facebook ‘Mencari Penderma Buah Pinggang’ yang dikesan menjalankan kegiatan haram ‘tawar-menawar’ aktiviti penjualan buah pinggang secara terbuka didapati telah tiada dalam senarai pencarian hari ini.
Semakan Kosmo! di platform itu mendapati kumpulan tersebut yang ditubuhkan pada 29 Disember 2022 oleh pengendali Willyum Ananth sudah tidak dapat diakses oleh orang ramai.
Pautan https://www.facebook.com/groups/1337354353688814/?ref=share&mibextid=NSMWBT yang menghubungkan pengguna kepada laman kumpulan terbabit juga gagal diakses.
“Kandungan ini tidak tersedia pada masa ini. Apabila ini berlaku, kebiasaannya kerana pemilik hanya berkongsi dengan sekumpulan kecil orang, menukar penetapan penonton atau ia telah dipadamkan,” itu kenyataan yang tersedia apabila pengguna menekan pautan tersebut.
Sementara itu, Presiden Persatuan Transplan Malaysia, Dr. Mohamad Zaimi Abdul Wahab memaklumkan pihaknya membuat laporan kepada Facebook pada Selasa lalu mengenai aktiviti jualan buah pinggang dalam kumpulan terbabit.
“Selepas pihak kami dapat maklumat berkaitan aktiviti jual beli buah pinggang secara terbuka di kumpulan terbabit, pihak kami dengan segera membuat laporan kepada Facebook.
“Sebelum laporan dibuat, saya masih boleh akses (kumpulan Mencari Penderma Buah Pinggang), tetapi hari ini dah tiada,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Katanya, pihak MST turut membuat laporan polis bagi mengesan kegiatan haram tersebut serta mahu tindakan tegas dikenakan kepada mereka yang terlibat.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya menerima dua aduan berkaitan kumpulan Facebook terbabit pada Julai lalu dan sedang dalam penelitian untuk tindakan selanjutnya.
Menerusi laporan khas bersiri di muka depan akhbar ini berjaya mendedahkan terdapat pihak yang terdesak kerana berdepan dengan kesempitan hidup dan masalah kewangan.
Ia memaksa mereka sehingga nekad menjual buah pinggang dengan harga mencecah ratusan ribu ringgit secara terbuka di Facebook walaupun mengetahui ia salah di sisi undang-undang.
Kegiatan haram itu dikesan dalam satu kumpulan Mencari Penderma Buah Pinggang di mana rata-rata ahlinya menawarkan organ masing-masing kepada pihak yang terdesak untuk mendapatkannya kerana terpaksa menunggu giliran yang lama daripada penderma. – KOSMO! ONLINE.