fbpx

Ultras Malaya boikot Pestabola Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ULTRAS Malaya dilaporkan kecewa dengan FAM yang menerima peletakan jawatan Pan-gon sekali gus membuat keputusan memboikot aksi Pestabola Merdeka.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat apabila Ultras Malaya sah ‘memboikot’ saingan Pestabola Merdeka 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 8 September depan.

Difahamkan, ramai pihak tidak berpuas hati khususnya peminat setia bola sepak kebangsaan apabila FAM membenarkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon meletak jawatan pada bulan lalu meskipun masih memiliki kontrak hingga 2025.

Ultras Malaya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook semalam mengesahkan akan tutup ‘curva’ yang sebelum ini cukup gah dalam menaikkan aura Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Sakit dan terus sakit. Biar je jangan diubat. Kosongkan Stadium! Tutup Curva Pestabola Merdeka! #ResetBolasepakMalaysia,” kata Ultras Malaya menerusi status tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bagaimanapun masih menjangkakan sambutan peminat akan terus meriah sama seperti ketika pasukan dibimbing oleh Pan-gon sebelum ini.

“Pandangan kami (segalanya) nampak okay. Kita masih ada penolong, Pau Marti yang diberi peranan untuk menggantikan Pan-gon selaku pemangku ketua jurulatih.

“Malah, kita meletakkan keyakinan penuh terhadap Pau Marti untuk membimbing pasukan ini nanti. Selain itu, kita juga berharap kehadiran penuh penyokong Harimau Malaya selepas tiket mula dijual secara rasmi (kelmarin),” katanya.

Sebagai rekod, Pan-gon sebelum ini dianggap ‘wira’ bola sepak tanah air apabila berjaya membantu pasukan layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lepas.

Namun, pengendali kelahiran Korea Selatan itu membuat keputusan mengejut untuk meletakkan jawatan serta-merta bulan lalu selepas gagal membantu Harimau Malaya melepas kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan memilih untuk mengemudi kelab Korea Selatan, Ulsan HD.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN