MOSCOW – Russia bertungkus lumus mematahkan serangan rentas sempadan terbesar oleh tentera Ukraine untuk hari kedua berturut-turut kelmarin.
Ia merupakan serangan paling serius ke atas wilayah Russia oleh tentera Kyiv dalam tempoh beberapa bulan, dan memaksa kedua-dua negara memindahkan beribu-ribu orang awam di lokasi pertempuran serta kawasan sekitarnya.
Perintah darurat diumumkan di Kursk petang kelmarin, 36 jam selepas askar, kereta kebal dan kenderaan berperisai Ukraine menyerbu wilayah sempadan di barat Russia tersebut.
Moscow berkata, tenteranya melancarkan peluru berpandu dan tembakan artileri kelmarin selepas mereka dikerahkan ke wilayah Kursk dalam usaha menghentikan kemaraan askar Ukraine.
Selepas dua hari pertempuran berlaku, tahap kerosakan dan kemaraan tentera Kyiv masih tidak jelas. Bagaimanapun, beberapa laporan penulis blog tentera kedua-dua pihak membayangkan tentera Ukraine mara sejauh beberapa berapa kilometer ke dalam wilayah Russia.
Presiden Russia, Vladimir Putin berkata, Ukraine menyerang bangunan awam dan ambulans secara sewenang-wenangnya, manakala jeneral tertinggi Kremlin berikrar untuk menumpaskan pencerobohan itu.
“Rejim Kyiv melakukan satu lagi provokasi besar-besaran,” kata Putin dalam mesyuarat dengan pegawai-pegawai kerajaan yang disiarkan di kaca televisyen.
Sementara itu, Gabenor Kursk, Alexei Smirnov mengumumkan perintah darurat di wilayah itu petang kelmarin dalam langkah yang memberikan kerajaan kuasa tambahan untuk mengawal keadaan.
Sekurang-kurangnya lima orang awam terbunuh dan 31 lagi cedera dengan enam daripada mereka kanak-kanak, sejak pencerobohan itu bermula, kata seorang pegawai kesihatan Russia kelmarin.
Beberapa saksi yang ditemu bual stesen televisyen Russia berkata, mereka melarikan diri dari kawasan sempadan menggunakan kereta sambil dihujani oleh tembakan dron.
Dalam pada itu, pihak berkuasa wilayah Sumy yang terletak di seberang sempadan Kursk, timur laut Ukraine mengumumkan bahawa mereka memindahkan kira-kira 6,000 penduduk.
Beberapa penulis blog tentera Russia melaporkan, tentera Ukraine telah sampai ke bandar Sudzha yang terletak kira-kira 8 kilometer dari sempadan serta membedilnya secara berterusan.
Pekan kecil yang mempunyai kira-kira 5,000 penduduk itu menempatkan stesen yang menjadi transit utama dan terakhir untuk saluran paip gas Russia menuju ke Eropah melalui Ukraine.
Menurut Pengawal Kebangsaan Russia, pihaknya turut mengukuhkan pertahanan di stesen janakuasa nuklear Kursk, kira-kira 60 kilometer dari sempadan Ukraine.
Ukraine bagaimanapun tidak mengaku bertanggungjawab atas pencerobohan itu, namun Presiden Volodymyr Zelenskyy kelmarin mengucapkan terima kasih kepada askar-askarnya kerana ‘keberanian’ mereka.
“Semakin banyak tekanan yang kita berikan kepada Russia, semakin dekat kita kepada keamanan.
Keamanan yang adil melalui kekerasan yang adil,” katanya tanpa membuat sebarang rujukan khusus kepada pertempuran tersebut. – AFP