fbpx

Kit ujian kesan masalah ‘nyanyuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Demensia merupakan satu masalah yang sering berlaku pada mereka yang telah mencapai usia tua.

Masalah demensia atau bahasa mudahnya nyanyuk merupakan penyakit otak yang progresif. Penyakit ini menyebabkan seseorang itu mempunyai masalah untuk mengingat, berfikir dan membuat keputusan.

Keadaan ini akan memberi impak besar terhadap kehidupan harian mereka yang berdepan masalah ini.

Pengesanan awal merupakan satu faktor penting bagi membantu mereka yang berhadapan dengan masalah ini mendapatkan bantuan.

Dalam satu langkah penting untuk mempelopori pengesanan demensia awal di Malaysia, perintis teknologi kesihatan, Hunan Qankorey Biotechnology (Qankorey) menerusi syarikat sekutu tempatan dan pengedar eksklusifnya, Clotech Sdn. Bhd. (Clotech) telah berganding bahu dengan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan kajian klinikal bagi memperkenalkan One Step Dementia Risk Test Kit atau Kit Ujian Risiko Demensia Satu Langkah buat pertama kali di Malaysia.

Kit-kit ujian ini berpotensi mengubah sama sekali kaedah diagnosis demensia, membolehkan pengesanan awal dan intervensi.

Ketua Jabatan Neurologi, Fakulti Perubatan di Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Liyana Najwa Inche Mat berkata, pengesanan awal demensia membolehkan individu berisiko mendapatkan perkhidmatan sokongan dan bantuan lebih awal.

“Jadi, mereka dapat membuat perubahan gaya hidup yang lebih sihat serta menguruskan penjagaan diri sendiri dengan lebih cekap.

“Pendekatan proaktif ini juga boleh mengurangkan kos penjagaan kesihatan, meningkatkan kualiti kehidupan dan menguruskan kemaraan demensia dengan lebih baik,” katanya.

Teknologi pelopor ini bertujuan menjadikan diagnosis demensia lebih pantas, lebih murah dan kurang invasif berbanding kaedah semasa.

HAMPIR 8.5 peratus daripada golongan dewasa lanjut usia di Malaysia mengalami demensia iaitu meliputi lebih 260,000 individu. – Gambar hiasan

Mengulas lanjut, Dr. Liyana Najwa menjelaskan, sebelum adanya Kit Ujian Risiko Demensia Satu Langkah, risiko demensia dinilai menerusi pemeriksaan klinikal, ujian kognitif dan kaedah pengimejan MRI atau imbasan CT.

“Kaedah semasa termasuk ujian darah dan pemeriksaan air tulang belakang (lumbar puncture) untuk analisa sampel cecair cerebrospinal menelan belanja besar dan bersifat invasif.

“Tambahan pula, kaedah ini tidak praktikal untuk pemeriksaan saringan besar-besaran dan kini juga tiada ujian makmal atau klinikal di mana-mana tempat di dunia yang boleh digunakan untuk saringan awal demensia dan Alzheimer,” terangnya.

Tambahnya, berasaskan maklumat masa lepas, kajian terkumpul mendapati ramai dewasa berumur yang kelihatan seperti mempunyai fungsi memori dan kognitif normal sebenarnya mengalami tanda-tanda awal demensia, termasuk Kemerosotan Kognitif Ringan atau MCI yang merupakan penentu awal yang nyata bagi demensia.

Pada hakikatnya, usaha ini amat penting memandangkan penduduk Malaysia semakin lanjut usia, dengan kira-kira 8.5 peratus hingga 11 peratus daripada dewasa yang berumur kini mengalami demensia dan Alzheimer.

Kerjasama Clotech dan HSAAS telah dirasmikan dengan termeterainya Memorandum Perjanjian (MOA) yang membentuk asas bagi penyelidikan dan usaha bersama untuk menggalakkan penggunaan kit ujian itu di Malaysia.

Kit ujian itu kini diperkenalkan, namun perlu menjalani ujian klinikal oleh HSAAS dahulu.

Kit ujian itu juga telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Malaysia dan akan disediakan di hospital dan klinik di Malaysia, berfungsi menggunakan teknologi berpaten yang mengesan pecahan Protein Prekursor Amiloid (APP) dalam air kencing.

Ujian ini merupakan satu kaedah tidak invasif bagi pengesanan awal MCI dan demensia awal.

APP adalah sejenis protein yang ditemui dalam badan yang memainkan peranan penting dalam perkembangan demensia, termasuk Alzheimer.

Penguraian APP menghasilkan serpihan seperti Amyloid-protein (A), yang mungkin terkumpul dalam otak dan membentuk plak, satu penanda penting bagi Alzheimer.

Kit ujian ini mengesan serpihan APP dalam air kencing memberikan isyarat awal mengenai masalah kognitif yang mungkin dialami, seterusnya membolehkan campur tangan perubatan dilaksanakan sewajarnya.

Kit ujian itu menawarkan kaedah yang pantas, tidak invasif dan sangat jitu untuk menilai risiko.

Ujian ini boleh digunakan di kemudahan perubatan biasa tanpa kelengkapan atau latihan khas, menjadikannya lebih mudah untuk mengesan demensia lebih awal dan meningkatkan potensi menambah baik hasil rawatan bagi pesakit.

Pengarah Clotech, Ng Lyp Hau berkata, penyediaan alat diagnostik yang tidak invasif dan kos efektif merupakan satu kemajuan besar dalam kesihatan awam.

“Kami terhutang budi kepada HSAAS atas sokongan tetap dan kerjasama mereka dalam inisiatif ini.

“Dedikasi HSAAS untuk melanjutkan kajian perubatan dan menambah baik penjagaan pesakit memainkan peranan penting untuk membawa teknologi serba maju ini ke Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI