fbpx

Infineon tambah RM30.1 bilion besarkan kilang di Kulim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kanan) mendengar taklimat berkenaan produk ketika hadir ke Majlis Perasmian Kilang Infineon Kulim 3 di Kulim Hi-Tech, hari ini.

PETALING JAYA – Syarikat semikonduktor global, Infineon Technologies AG (Infineon) mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah lima bilion euro (RM30.1 bilion) untuk pembangunan Fasa 2 kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter terbesar dunia di Kulim, Kedah.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia susulan daripada pelaburan awal sebanyak dua bilion euro (RM9.7 bilion) untuk pembangunan Fasa 1 kilang berkenaan.

“Kedua-dua Fasa 1 dan Fasa 2 ini masing-masing akan menjana 900 dan 600 pekerjaan bernilai tinggi di Malaysia.

“Secara keseluruhan, sebanyak 4,000 pekerjaan akan diwujudkan. Bangunan fabrikasi Kulim 3 ini turut menggabungkan kecekapan tenaga dengan amalan yang mampan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, Pembangunan kemudahan berkenaan menonjolkan kredibiliti negara yang semakin meningkat sebagai hab serantau untuk teknologi dan inovasi dalam ruang semikonduktor.

“Kami sangat mengalu-alukan rakan kongsi jangka panjang yang komited seperti Infineon untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi dan mendorong ke arah sifar bersih, seperti yang dibentangkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Pelaburan tambahan RM30.1 bilion Infineon dalam teknologi pembuatan termaju ini bukan sahaja akan memacu inovasi dan agenda reformasi perindustrian kita, tetapi juga mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Pada suku tahun pertama 2024, industri semikonduktor negara menarik RM34.3 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 34 projek untuk menjana 6,221 pekerjaan baharu.

Perkembangan ini sejajar dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS), yang telah menetapkan sasaran berani untuk menarik sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan untuk industri semikonduktor dalam fasa pertama. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI