KOTA BHARU – Polis membuka kertas siasatan berkait kenyataan sensitif yang dikeluarkan oleh seorang ahli politik semasa sesi ceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Bertam Baru, Gua Musang sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian sebuah parti politik di Gua Musang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Kok Lanas di sini, hari ini.
Terdahulu, tular satu kenyataan seorang ahli politik berhubung isu sebahagian besar permohonan pemilikan tanah yang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri tidak diselesaikan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) semasa mengadakan ceramah pilihan raya.
Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki memberitahu, perjalanan kempen PRK DUN Nenggiri ketika ini dilihat berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.
Katanya, pihak polis sudah menempatkan anggota dan pegawai yang cukup sepanjang proses PRK bagi memastikan suasana penuh harmoni. – KOSMO! ONLINE