TELUK INTAN – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk ibu saudara dan menampar neneknya, Isnin lalu.
Tertuduh, M. D. Nava Rajan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan berasingan di hadapan Majistret T. Ashvinii.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas ibu saudaranya, P. Rajaspary, 68, dengan cara menumbuk di bahagian muka di sebuah rumah di Taman Indah Jaya, Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak pada pukul 10.30 malam, 5 Ogos 2024.
Tertuduh juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas neneknya, R. Kamalam, 90, dengan cara menampar di bahagian muka di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda hukuman penjara di bawah Seksyen 324 kanun sama. – KOSMO! ONLINE