fbpx

Perhimpunan LCS: SU Agung Muda dibenar rujuk persoalan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir Hariri ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amir Hariri Abd Hadi untuk merujuk persoalan perlembagaan berhubung Akta Perhimpunan Aman 2012 ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat persoalan perlembagaan yang perlu ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan dalam prosiding jenayah yang dihadapi Amir Hariri, 33, di Mahkamah Majistret.

“Persoalan perlembagaan untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan itu adalah sama ada Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Fasal 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu hak asasi untuk berhimpun secara aman,” kata hakim itu.

Dalam prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam Joshua Tay dan Beatrice Chin manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd. Rahman.

Pada 26 Ogos 2022, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku penganjur perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?’ didakwa gagal memberitahu pihak polis yang menjaga daerah Dang Wangi, di sini, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pukul 2 petang pada  14 Ogos 2022.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI