PETALING JAYA – Jasa dan pengorbanan para aktivis yang berjuang sejak era reformasi 1998 sentiasa dalam ingatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, baru-baru ini beliau menyampaikan sumbangan kepada aktivis reformasi, Mohd. Shamsuri Alias di Klang, Selangor.
Menurut beliau, Mohd. Shamsuri bergiat aktif bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kota Raja sejak awal penubuhan parti itu
“Setiausaha Politik, Farhan Fauzi telah mewakili saya ke Klang untuk menziarahi saudara Mohd Shamsuri.
“Dalam Ziarah Madani ini, saudara Farhan sempat menyampaikan salam saya serta bertanyakan khabar kepada Mohd. Shamsuri yang kekal tabah berdepan ujian, selain tekal dalam perjuangan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Jelas Anwar, Farhan dalam Ziarah Madani tersebut menyampaikan sumbangan bagi pihaknya kepada Mohd. Shamsuri dan keluarga bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka. – KOSMO! ONLINE